Monday, November 8, 2010

W.kulit III

Dalam persembahan Wayang Gedek, pentas merupakan salah satu aspek yang diberi perhatian. Pembinaanya mestilah mengikut pantang-larang dan syarat-syarat yang tertentu. Antaranya ianya tidak boleh menghala ke arah matahari terbenam dan juga tidak boleh dibina di atas busut. Pembinaanya mestilah mengikut ukuran tertentu yang ditetapkan oleh Tok Dalang.

Bagi persembahan Wayang Gedek pentas yang digunakan adalah berbentuk serambi rumah iaitu bumbungnya lebih tinggi di sebelah hadapan ataupun dipanggil 'pisang sesikat'. Tinggi lantai dengan bumbung pada bahagian depan pentas adalah 7 kaki dan tinggi bahagian depannya 5 kaki. Pentas ini dibina agak tinggi dari paras tanah iaitu lebih kurang 5 kaki dan mempunyai 4 tiang.

Bahagian kiri, kanan dan belakang pentas pula ditutup oleh dinding yang diperbuat dari kayu ataupun buluh. Terdapat satu pintu belakang dan bahagian depan pentas yang terbuka akan direntang dengan kain putih yang bertindak sebagai layar pada pentas tersebut. Layar itu dikenali dengan panggilan kelir

Pentas tersebut juga dilengkapi dengan batang pisang yang diletakkan di antara kedudukan dalang dengan kelir. Fungsi batang pisang ini sebagai tempat untuk memacak patung-patung wayang yang digunakan semasa persembahan. Kedudukan patung-patung yang ditempatkan di atas batang pisang itu pun bergantung pada watak yang tertentu. Di sebelah kanan akan ditempatkan patung-patung yang membawa watak baik dan di sebelah kiri pula sebaliknya.

Sebuah pelita ataupun mentol akan digantung di tengah-tengah pentas untuk menghasilkan bayang-bayang yang seimbang kepada penonton yang berada di depan. kedudukan pelita ataupun mentol tadi adalah berhadapan dengan dalang dan ditutup sebahagiannya (yang berhadapan dengan dalang) suapaya cahaya terhasil akan bertumpu ke satu arah sahaja. Fungsi pelita ataupun mentol ini adalah sebagai projektor.

Bagi wayang kulit seri asun, pentas yang digunakan bagi persembahan wayang kulit adalah berupa sebuah pentas pasang siap yang padat dan ringkas. Ianya sesuai untuk digunakan di mana jua keadaan samada luar dewan ataupun dalam dewan. Ukuran pentas yang digunakan oleh kumpulan ini ialah 5 kaki tinggi dari tanah ke lantai. 7 kaki tinggi dari lantai ke bumbung dan lebarnya pula ialah 12 kaki x 12 kaki. Manakala kain layarnya pula berukuran 8 kaki x 5 kaki.

No comments:

Post a Comment